Maklumat Bahasa ( 9 )

Kesalahan dalam memisahkan Pelaku daripada Kata Kerja Pasif


Mengikut tatabahasa , pelaku diri pertama atau pelaku diri kedua tidak boleh dipisahkan daripada kata kerja pasif, iaitu tidak boleh dipisahkan oleh kata bantu.


Contoh: 1. Buku itu saya akan beli. (salah)
                 Buku itu akan saya beli. (betul)


             2. Bilik itu saya sudah kemaskan.  (salah)
                 Bilik itu sudah saya kemaskan.  (betul)

Maklumat Bahasa ( 8 )

Kesalahan menggandakan kata akar  selepas kata " saling"


Saling ialah kata yang menunjukkan perbuatan daripada kedua-dua pihak atau  yang berbalas-balasan. Jadi , tidak perlu diulang kata akar selepas kata " saling".


Contoh: 1. Kita hendaklah saling hormat - menghormati antara kita.    (salah)
                Kita hendaklah saling menghormati antara kita.       (betul)


             2. Ahli kumpulan itu saling percaya- mempercayai antara satu sam lain.     (salah)
                 Ahli kumpulan itu saling mempercayai antara satu sama lain.      (betul)


Latihan :  Semuanya saling tolong -menolong. ( betul   / salah )

Maklumat Bahasa ( 7 )

Penggunaan Kata Jamak

Kata jamak ialah kata yang membawa maksud banyak atau lebig daripada satu. Jika anda menggunakan kata yang membawa maksud jamak (banyak), anda tidak perlu mengulang kata nama yang mengikutinya.

 Contoh: 1. Lima orang murid-murid sedang membincangkan sesuatu.  (salah)
                  Lima orang murid sedang membincangkan sesuatu.      (betul)

              2. Semua orang-orang kampung keluar pada malam itu. (salah)
                  Semua orang kampung kelaur pada malam itu.   (betul)

Latihan : Kumpulan jemaah-jemaah haji telah berangkat. ( betul / salah)

Maklumat Bahasa ( 6 )

Peraturan D-M
Peratuaran yang menunjukkan bahawa yang diterangkan (D) mestilah mendahului yang menerangkan (M). Peraturan ini disebut juga sebagai Hukum D-M.

Contoh:  a) Restoran Hassan  (betul)           Hassan Restoran  (salah)
              b) mi dua minit         (betul)           dua minit mi          (salah)
              c) Klinik Tan           (betul)            Tan Klinik            (salah)

Latihan: 1. Diana Kedai Kek   (  betul  / salah  )
             2. Pasar Mini Kenaga (  betul / salah  )

Maklumat Bahasa ( 5 )

Ayat Pasif
Tahukah anda bahawa kata ganti diri pertama dan kedua tidak boleh hadir di belakang perkataan " oleh".

 Contoh: 1 a) Buku itu dibuka oleh saya.        (salah)
                 b) Buku itu saya buka.                   (betul)
     
              2 a) Kerja sekolah ini perlu disiapkan oleh kamu.  (salah)
                 b) Kerja sekolah ini perlu kamu siapkan.            (betul)

Hanya kata ganti nama diri ketiga boleh di belakang perkataan " oleh".

Contoh:    a) Minuman itu disediakan oleh dia.   (betul)
                b) Lukisan ini dilukis oleh Cikgu Ho.  (betul)

Maklumat Bahasa ( 4 )

Kata arah " di dalam "  digunakan di hadapan kata nama konkrit. 
( benda yang dapat dilihat   dan disentuh)

    Contoh : Jasmine menyimpan buku di dalam beg.

Kata sendi " dalam" pula digunakan di hadapan kata nama abstrak.
( benda yang tidak dapat dilihat atau disentuh)

     Contoh: Johnny mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna                       itu.

Maklumat Bahasa ( 3 )

Perkataan " mempunyai" dan " terdapat" bererti ada.

1. Kata " mempunyai" digunakan untuk manusia dan haiwan  ( bernyawa) .
       Contoh:   Kamal mempunyai seekor arnab.
                      Semua serangga mempunyai enam kaki.

2. Kata " terdapat" pula digunakan untuk tempat dan benda ( tidak bernyawa).
       Contoh:   Di dalam perpustakaan terdapat banyak buku cerita.
                      Di dalam kotak terdapat sebiji bola.

Oleh itu, apakah jawapan yang tepat untuk soalan berikut:

     Di rumah saya ( terdapat / mempunyai ) sebuah televisyen baharu.

Maklumat Bahasa (2)


       Perkataan ‘baru’ dan ‘baharu’.
1.                   Perkataan ‘baru’ digunakan untuk maksud masa, iaitu tidak lama sebelum ini.
      Cth : Bapa baru pulang dari Kuala Lumpur.

2.                  Perkataan ‘baharu’ pula digunakan untuk maksud sifat atau adjektif, iaitu tidak buruk,     
            kelihatan cantik dan sebagainya.
      Cth: Cik Ho membeli sebuah kereta MyVi yang baharu.

·                  Saya telah menggunakan perkataan bahasa Inggeris untuk memudahkan murid-murid  
           membezakan kedua-dua perkataan ini dan cara ini adalah berkesan.
-       Barujust now
-       Baharu - new



Maklumat Bahasa (1)

Berikut ialah maklumat tatabahasa BM yang diharapkan dapat membantu murid-murid.

1. Dalam BM, terdapat 4 kata kerja yang tidak memerlukan awalan meN-, iaitu minum, makan, mohon dan minta.

2. Kata bilangan 'ramai' dan 'banyak'.
  •     Kata bilangan 'ramai' adalah digunakan untuk maksud suasana   Cth: Ramai orang membeli-belah di pasar raya itu.
  •     Kata bilangan 'banyak' pula membawa maksud bilangan jamak   Cth: Banyak murid berada di padang sekolah pada waktu petang.

2.        

Lagu Kanak-kanak

Lagu untuk murid-murid yang baru mula belajar Bahasa Malaysia di sekolah.Lagu ini juga akan mengajar murid-murid tentang kebersihan diri dan tanggungjawab diri. Marilah menyanyi bersama-sama.

Lagu 1 Malaysia





Pertama kali perayaan Hari Merdeka negara kita di Stadium Putra, Bukit Jalil.  Melalui lirik lagu 1 Malaysia, guru dapat memupuk  semangat patriotik kepada anak-anak murid kita. Lagu ini juga boleh digunakan sebagai bahan  bantu mengajar. Marilah kita sama-sama menyanyikannya dengan penuh semangat.

Rakaman Mikro & Makro

Dalam melaksanakan tugasan-tugasan UPSI, telah memberi peluang kepada saya untuk mempelajari pelbagai kemahiran dalam teknologi. Antaranya penyediaan blog dan melakukan rakaman video yang sebelum ini tidak pernah saya lakukan.

Berikut adalah antara gambar murid-murid tahun 3 yang sukarela membantu saya dalam menyelesaikan rakaman mikro dan makro saya. Sesungguhnya, kehendak tugasan adalah mencabar, namun memberi peluang kepada saya mempelajari ilmu yang baharu.






Bahan P&P berdasarkan aktiviti-aktiviti di sekolah

   Berdasarkan gambar-gambar aktiviti Hari Kanak-kanak dan Kempen Anti-Nyamuk Aedes ini, guru-guru boleh menggunakannya sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran yang menarik. Antaranya, 
1. Guru boleh pilih gambar yang sesuai untuk penulisan karangan atau membina ayat. Guru juga boleh gunakan gambar sebagai rangsangan bagi murid menyenaraikan nilai-nilai murni bagi tujuan penulisan Bahagian C.
2. Murid boleh diberikan projek , iaitu murid dikehendaki memilih gambar-gambar yang sesuai dan membuat projek Bahasa Malaysia dengannya. 


                                              Hari Kanak-kanak Tahun 2011










                              Kempen Anti-Nyamuk Aedes








Marilah sama-sama saksikan Upin dan Ipin. Rancangan ini amat bermakna dan bermanfaat untuk para pelajar. Kandungan cerita boleh memberikan input secara tidak langsung kepada murid-murid tanpa mempelajarinya di sekolah. Guru-guru boleh gunakan sebagai BBM. Melalui satu cerita sahaja, murid-murid dapat pelajari pelbagai ilmu, seperti kemerdekaan negara kita, hidup bermasyarakat, nilai-nilai murni dan juga bahasa.

Teka- teki



Marilah ramai-ramai sama-sama mendeklamasikan pantun dan menjawap teka-teki...

Cerita Sang Kancil dan Monyet

Saya dapati kebanyakan murid-murid sekolah rendah tidak mengetahui cerita-cerita rakyat seprti Sang Kancil  dan Monyet, Sang Kancil dan Kura-kura dan sebagainya. Cerita-cerita seperti ini sebenarnya menarik, mudah jalan cerita dan terkandung nilai-nilai murni di dalamnya.

Dari web YouTube, saya telah dapat mencari filem pendek terbitan FNM. Video ini boleh digunakan dalam p&p Bahasa Malaysia di dalam kelas. Saya akan 'post'kan lebih banyak video pendek seperti ini pada masa yang akan datang. :)

Kuiz Bahasa Malaysia Tahun 4 (tatabahasa - Simpulan Bahasa )

          Selamat sejahtera kepada semua, mari kita sama-sama menyertai kuiz ini untuk mengetahui pengetahuan murid-murid tahun 4 terhadap simpulan bahasa.
           Selamat bercuba!!!!
Sila tekan url  di bawah untuk bermula........
http://pkgseriampang.org/sal/bm_sr/skbm11.HTM

Masalah 'M' dan 'R'

Didapati ramai murid Cina di sekolah sjkc menghadapi masalah untuk menyebut perkataan yang mengandungi huruf 'm' atau 'r'. Kesalahan murid menyebut perkataan-perkataan berkenaan secara langsung akan menyebabkan murid mengalami kesukaran untuk menulis dengan ejaan yang betul.

Contoh perkataan yang ketara berlaku kesalahan ialah:
- demam ( disebut deman dan juga ditulis deman)
- bekerja ( disebut dan ditulis berkerja / berkeja)
- besar ( disebut dan ditulis bersa )

Saya dapat kesalahan ini berlaku kerana pada peringkat lisan dan bacaan, murid tidak menyebutnya dengan betul. Cikgu boleh perhatikan mulut murid semasa menyebutnya. Huruf 'm' dan 'r' tidak disebut dengan betul. Oleh itu, masalah ini berlaku. Namun, apa lagi cara terbaik untuk atasi masalah ini???

Intro

Helo dan salam 1Malaysia,
Saya bercadang menggunakan blog ini sebagai platform untuk saya memaparkan pelbagai informasi berkaitan subjek Bahasa Malaysia. Diharapkan para pengunjung blog ini akan memperoleh maklumat yang berfaedah. Pada masa yang sama, dengan pembangunan blog ini, memberi peluang kepada saya untuk mempelajari ilmu baru berkaitan teknologi. Sesungguhnya, sebagai seorang guru, saya mesti memperlengkapkan diri saya dengan ilmu-ilmu baru agar dapat mendekatkan diri saya dengan murid-murid kini yang sememangnya mahir dalam IT.

Happy blogging to me ;) and happy viewing to all.