Maklumat Bahasa ( 9 )

Kesalahan dalam memisahkan Pelaku daripada Kata Kerja Pasif


Mengikut tatabahasa , pelaku diri pertama atau pelaku diri kedua tidak boleh dipisahkan daripada kata kerja pasif, iaitu tidak boleh dipisahkan oleh kata bantu.


Contoh: 1. Buku itu saya akan beli. (salah)
                 Buku itu akan saya beli. (betul)


             2. Bilik itu saya sudah kemaskan.  (salah)
                 Bilik itu sudah saya kemaskan.  (betul)

Maklumat Bahasa ( 8 )

Kesalahan menggandakan kata akar  selepas kata " saling"


Saling ialah kata yang menunjukkan perbuatan daripada kedua-dua pihak atau  yang berbalas-balasan. Jadi , tidak perlu diulang kata akar selepas kata " saling".


Contoh: 1. Kita hendaklah saling hormat - menghormati antara kita.    (salah)
                Kita hendaklah saling menghormati antara kita.       (betul)


             2. Ahli kumpulan itu saling percaya- mempercayai antara satu sam lain.     (salah)
                 Ahli kumpulan itu saling mempercayai antara satu sama lain.      (betul)


Latihan :  Semuanya saling tolong -menolong. ( betul   / salah )

Maklumat Bahasa ( 7 )

Penggunaan Kata Jamak

Kata jamak ialah kata yang membawa maksud banyak atau lebig daripada satu. Jika anda menggunakan kata yang membawa maksud jamak (banyak), anda tidak perlu mengulang kata nama yang mengikutinya.

 Contoh: 1. Lima orang murid-murid sedang membincangkan sesuatu.  (salah)
                  Lima orang murid sedang membincangkan sesuatu.      (betul)

              2. Semua orang-orang kampung keluar pada malam itu. (salah)
                  Semua orang kampung kelaur pada malam itu.   (betul)

Latihan : Kumpulan jemaah-jemaah haji telah berangkat. ( betul / salah)

Maklumat Bahasa ( 6 )

Peraturan D-M
Peratuaran yang menunjukkan bahawa yang diterangkan (D) mestilah mendahului yang menerangkan (M). Peraturan ini disebut juga sebagai Hukum D-M.

Contoh:  a) Restoran Hassan  (betul)           Hassan Restoran  (salah)
              b) mi dua minit         (betul)           dua minit mi          (salah)
              c) Klinik Tan           (betul)            Tan Klinik            (salah)

Latihan: 1. Diana Kedai Kek   (  betul  / salah  )
             2. Pasar Mini Kenaga (  betul / salah  )

Maklumat Bahasa ( 5 )

Ayat Pasif
Tahukah anda bahawa kata ganti diri pertama dan kedua tidak boleh hadir di belakang perkataan " oleh".

 Contoh: 1 a) Buku itu dibuka oleh saya.        (salah)
                 b) Buku itu saya buka.                   (betul)
     
              2 a) Kerja sekolah ini perlu disiapkan oleh kamu.  (salah)
                 b) Kerja sekolah ini perlu kamu siapkan.            (betul)

Hanya kata ganti nama diri ketiga boleh di belakang perkataan " oleh".

Contoh:    a) Minuman itu disediakan oleh dia.   (betul)
                b) Lukisan ini dilukis oleh Cikgu Ho.  (betul)

Maklumat Bahasa ( 4 )

Kata arah " di dalam "  digunakan di hadapan kata nama konkrit. 
( benda yang dapat dilihat   dan disentuh)

    Contoh : Jasmine menyimpan buku di dalam beg.

Kata sendi " dalam" pula digunakan di hadapan kata nama abstrak.
( benda yang tidak dapat dilihat atau disentuh)

     Contoh: Johnny mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna                       itu.

Maklumat Bahasa ( 3 )

Perkataan " mempunyai" dan " terdapat" bererti ada.

1. Kata " mempunyai" digunakan untuk manusia dan haiwan  ( bernyawa) .
       Contoh:   Kamal mempunyai seekor arnab.
                      Semua serangga mempunyai enam kaki.

2. Kata " terdapat" pula digunakan untuk tempat dan benda ( tidak bernyawa).
       Contoh:   Di dalam perpustakaan terdapat banyak buku cerita.
                      Di dalam kotak terdapat sebiji bola.

Oleh itu, apakah jawapan yang tepat untuk soalan berikut:

     Di rumah saya ( terdapat / mempunyai ) sebuah televisyen baharu.